Prakerasulan

Kelahiran Rasulullah SAW ( ﷺ )

Prakerasulan

Betapa cantiknya aturan Tuhan. Datuk Rasulullah SAW ﷺ mengahwinkan anaknya Abdullah Iaitu bapa Baginda dengan Siti Aminah Binti Wahab Bin Abd Manaf Bin Kilab yang terkenal dengan keelokan pekerti dan nasabnya.

Sebaik Aminah hamil, Abdullah pergi menghadap Allah ketika dalam perjalanan pulang berdagang dari Syam dan dikebumikandi perkampungan keluarga isterinya di Madinah. Dia pergi setelah meninggalkan zuriat yang penuh keberkatan untuk membawa rahmat kepada seisi alam. Takdir seolah-olah menyatakan bahawa sesungguhnya telah selesailah peranan hidupmu di dunia!

Ibnu Sa;ad meriwayatkan bahawa Aminah ibu Rasulullah SAW ﷺ bercerita,

"Ketika aku melahirkan Baginda satu cahaya telah keluar sehingga menerangi mahligai-mahligai di negeri Syam"

Kejadian ini hampir sama dengan apa yang di riwayatkan oleh al-'Irbadh Bin Sariah. Berapa irhasat (petanda awal kebangkitan seorang Rasul) telah berlaku sebelum kelahiran Rasulullah SAW ﷺ. Antaranya keruntuhan 14 anjung Dewan Kisra Parsi, terpadamnya api yang disembah penganut  agma Majusi dan robohnya gereja-gereja di sekitar Tasik Sawa (Sawa Lake) yang sebelum ini penuh sesak dengan para pengunjung. Inilah yang diriwayatkan oleh al-Baihaqi.

Penghulu para Rasul ini, Muhammad Bin Abdullah dilahirkan di penempatan kediaman Bani Hashim di Mekah, pada subuh hari isnin, 12 Rabiulawal tahun Gajah; tahun kejadian tentera bergajah pimpinan Abrahah menyerang Mekah bersamaan 20 atau 22 April tahun 571 Masihi, di rumah bapa saudaranya Abu Talib yang terletak di kawasan Bani Hasyim.

Sebaik sahaja Baginda dilahirkan, ibu Baginda segera mengutuskan khabar kepada datuk Baginda, Abdul Muttalib. Abdul Muttalib terus mengambil dan membawa Baginda masuk ke dalam Kaabah, lantas berdoa dan menyatakan kesyukuran kepada Allah SWT.

Beliaulah yang telah memilih nama 'Muhammad' sebagai nama cucunya ini, satu nama yang belum pernah dinamakan kepada sesiapa pun oleh bangsa Arab Sebelum ini. Ia bermaksud 'seorang yang selalu dipuji'.

Beliau juga telah mengkhitan cucunya ini pada hari ke-7 dan mengadakan jamuan meraikan kelahiran Baginda sebagaimana adat bangsa Arab ketika itu.

Wanita pertama yang menyusukan Baginda selepas ibunya ialah Thuwaibah al-Aslamiah, hamba Abu Lahab yang dibebaskannya lantaran terlalu gembira dengan berita kelahiran Baginda yang disampaikan oleh hambahnya ini.